Kanser Payu dara di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1993-2003) Dari tahun 1993 ke 2003, terdapat sejumlah 1818 pesakit kanser payudara di Hospital Universiti. Bilangan pesakit kanser payudara meningkat setiap tahun dengan bilangan tertinggi tercatat pada 2003. Ini 6 kali bilangan pesakit kanser payudara pada 1993. Kanser payudara lebih biasa di kalangan wanita Cina berbanding wanita Melayu. 2% daripada pesakit ini berumur kurang daripada 30 tahun. Majoriti pesakit kanser dalam lingkungan umur 40-49 tahun apabila mereka mula-mula didiagnosis. Walau bagaimanapun ini bukan spesifik kepada umur tetapi mungkin berlaku akibat kedudukan hospital tersebut dan pelanggan mereka. Mungkin ini disebabkan oleh populasi bandar yang lebih muda atau pihak kampung lebih suka mendapat rawatan tradisi. 30-40% daripada jumlah pesakit telah mula-mula didiagnosis pada tahap lewat dan walaupun wanita hari ini semakin mula didiagnosis dengan tumor yang lebih kecil, pengurangan dalam saiz masih belum cukup nyata. Ini adalah kerana kekurangan kesedaran mengenai kanser payudara di kalangan wanita mengakibatkan mereka berjumpa dengan pihak doktor hanya pada tahap lewat. Demi mengesyorkan kadar penyembuhan yang lebih baik, penyakit ini mesti di kenal pasti seawal mungkin.
Adalah dicadangkan bahawa kanser payudara menghidap pada umur yang lebih muda dan lebih agresif di kalangan orang Asia. Hasil kajian mendapati bahawa kanser payudara di kalangan orang Asia lebih agresif berbanding dengan orang kulit putih. Walau bagaimanapun, penyelidikan yang lebih mendalam diperlu dan akan dijalankan untuk menilai perbezaan antara kedua-dua kumpulan ini (kanser payu dara di kalangan Orang Asia dan Orang kulit putih). Faktor-Faktor Risiko Kanser Payudara Penyebab utama kanser payudara masih belum diketahui dan dipercayai bahawa lebih daripada satu faktor yang mengakibatkannya. Pakar pengkaji percaya bahawa faktor penyebab termasuk faktor genetik dan faktor alam sekitar.
Keutamaan telah ditumpukan kapada individu yang mempunyai risiko tinggi. Berapa sebab telah pun dikaji dengan teliti. Apakah implikasi mengenalpasti faktor-faktor risiko kanser payudara? Faktor-faktor risiko yang sudah diketahui akan membolehkan individu yang berisiko tinggi menerima manafaat daripada kawalan rapi iaitu daripada pemeriksaan rapi klinikal dan pemeriksaan mammografi. Walaubagaimanapun, wanita yang tidak mempunyai faktor-faktor risiko boleh menghidapi kanser. Jadi, faktor-faktor risiko tidak boleh memberi ramalan yang tepat.
Pesanan utama Mengetahui faktor risiko akan memutuskan sama ada anda perlu atau tidak pemeriksaan saringan.
Sekiranya anda tidak mempunyai faktor-faktor risiko tidak bermakna anda selamat. Ramai wanita yang mengidapi kanser tidak mempunyai riwayat keluarga atau mempunyai faktor-faktor risiko
Kanser payudara tidak boleh dicegah dan strategi utama adalah pengesanan awal dan rawatan sebelum kanser itu merebak
Faktor–faktor yang dikenal pasti Berikut adalah faktor-faktor yang telah dikenal pasti
Jantina
Kanser payudara adalah khususnya penyakit wanita (95% daripada kes kanser payudara adalah di kalangan kaum wanita)
Umur
Semakin usia meningkat semakin tinggi risiko. Wanita yang berumur kurang daripada 25 tahun jarang sekali mengidapi kanser payudara
Perbezaan geografi
Kawasan kediaman memainkan peranan. Kanser payudara lebih didapati di negeri barat jika dibandingkan dengan negara Asia atau Afrika.
Riwayat kanser payudara
Sekiranya anda pernah menghidapi kanser payudara, risiko ianya akan berulang meningkat 4 kali ganda
Riwayat keluarga dan faktor genetik
Sekiranya seorang wanita mempunyai ibu atau adik beradik perempuan (waris perempuan terdekat) yang pernah menghidapi kanser payudara pada usia yang agak muda, risiko ia akan menghidapi kanser payudara akan meningkat 2 kali ganda dan risiko ini akan meningkat 4 kali ganda sekiranya 2 atau lebih waris terdekat menghidapi kanser payudara. Untuk lelaki, risiko meningkat sekiranya, bapa, adik beradik lelaki atau anak lelakinya menghidapi kanser payudara. Saudara mara seorang lelaki yang menghidapi kanser payudara mempunyai risiko tinggi. Ada laporan yang mengatakan 60% lelaki pengidap kanser payudara mempunyai saudara wanita yang menghidapi kanser payudara. Usia mereka ketika menghidapi kanser penting diketahui.
Hanya 5-10% wanita yang menghidapi kanser payudara mempunyai faktor-faktor genetik. Pada tahun 1990 gen BRCA1 ditemui dan diikuti berapa tahun kemudian dengan gen BRCA2. Sekiranya salah satu gen tersebut didapati, risiko akan meningkat sebanyak 85% Gen BRCA1 mempunyai kaitan dengan kanser ovari. Gen ini bukan suatu gen yang berlebihan tetapi merupakan suatu gen yang berubah mengakibat munculnya kanser payudara. Wanita yang ada gen BRCA1 mempunyai riwayat keluarga di mana beberapa generasi menghidapi kanser pada usia yang muda dan kanser didapati pada kedua-dua payudara. Walaubagaimanapun, terdapat wanita yang ada gen BRCA1 di mana saudaranya tidak menghidapi kanser payudara. Sindrom Li-Frameni adalah sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan dikaitkan dengan gen p53. Kanser pada pesakit-pesakit ini dikaitkan dengan ketumbuhan tisu lembut, tulang, otak dan kelenjar adrenal.
Adanya riwayat penyakit payudara
Ini meliputi semua keadaan di mana terdapat sel-sel abnormal. Wanita di mana sel-sel agak abnormal iaitu hiperplasia atypical mempunyai kadar risiko 4 kali ganda menghidapi kanser payudara. Begitu juga dengan penyakit fibrosistik atau penyakit proliferatif.
Riwayat haid
Sekiranya seorang wanita baligh pada usia sebelum 12 tahun atau putus haid selepas 55 tahun, risiko ia menghidapi kanser meningkat 2 atau 3 kali ganda. Ini berkaitan dengan fasa kesuburan dan pendedahan terhadap pengaruh hormon oestrogen.
Jumlah anak
Seorang wanita yang tidak mempunyai anak atau tidak pernah hamil selepas umurnya 30 tahun mempunyai risiko tinggi menghidapi kanser payudara. Ini mungkin ada kaitan dengan pusingan haid yang tidak terganggu.
Pendedahan radiasi
Pendedahan radiasi seperti sinar-X semasa usia atau sebelum usia 30 tahun boleh meningkatkan risiko terhadap kanser payudara tetapi pendedahan seperti ini jarang sekali berlaku Pendedahan kepada letupan bom atom boleh meningkatkan risiko sebanyak 3 kali ganda. Risiko radiasi diperolehi daripada data pendedahan tinggi seperti mangsa letupan bom atom, pelombong uranium, mangsa pendedahan gas radon, pesakit tuberculosis yang pernah mengalami floroskopi ulangan (satu cara pemeriksaan yang tidak dilakukan lagi) dan pesakit yand didedahkan radiasi untuk rawatan penyakit mastitis dan penyakit Hodgkins. Dos yang didapati merangkumi 250mGy – 20Gy (25 sehingga 2000rads). Dos seperti ini tidak digunakan semasa pemeriksaan diagnostik
Status socioekonomi
Status socioekonomi tinggi akan meningkatkan risiko kanser payudara. Ini berkaitan dengan usia semasa baligh, usia semasa putus haid, usia ketika hamil anak pertama dan juga pemakanan
Pemakanan
Pemakanan telah dikatakan mempengaruhi kadar kanser di antara negara-negara. Walaubagaimanapun kajian telah menunjukkan bahawa kaitan antara kadar kanser payu dara dan pemakanan adalah lemah atau tidak secara langsung. Pengambilan minuman beralkohol telah membuktikan peningkatan risiko 1.4 sehingga 2.0 kali ganda.
Saiz tubuh
Wanita yang gemuk selepas putus haid mempunyai risiko yang meningkat. Ini adalah kerana lemak mengandungi oestrogen dan pada wanita seperti ini paras oestrogen lebih tinggi
Pil perancang dan terapi hormon gantian (THG)
Pengambilan pil perancang pada jangka masa yang lama dikaitkan dengan peningkatan risiko dalam lingkungan 1.2 kali. Rawatan hormon gantian (THG) dalam bentuk campuran oestrogen dan progestogen sering diberikan. Dos oestrogen yang diberikan adalah rendah dan risiko kanser akan meningkat 1.8 kali hanya selepas penggunaan selama 5 tahun. Selepas 5 tahun risiko meningkat 2.6 kali.
Keputusan untuk menerima rawatan THG bergantung kepada berapa faktor. Data mengenai manafaat terhadap penyakit kardiovaskular dan penyakit osteoporosis makin menggalakkan.THG juga bermanfaat kepada wanita yang mempunyai gejala gejala putus haid seperti ‘hot flush’ dan perubahan perasaan. Kanser payudara yang dikaitkan dengan THG didapati mudah dirawati dan kurang merebak. Ini mungkin kerana wanita-wanita ini lebih sering melakukan mamogram dan kanser dikesan lebih awal. Walaubagaimanapun implikasi risiko dan faedah penggunaan THG perlu dikaji dengan teliti. Penggunaan THG dipertimbangkan apabila faedah mengambilnya adalah melebihi risikonya.
Penyusuan
Kajian telah menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara penyusuan dan kanser payudara. Penyusuan tidak memberikan apa perlindungan. Kajian Carolina Breast Center pada tahun 1999 telah menunjukkan bahawa penyusuan merendahkan sedikit risiko terhadap kanser payudara di kalangan wanita yang boleh hamil (child bearing). Kajian ini juga memperingatkan wanita jangan melakukan penyusuan hanya sebagai perlindungan untuk kanser payudara. Penyusuan harus dilakukan kerana manfaat kepada kedua dua ibu dan bayi.
Mengenali Peringkat Serta Tahap Penyakit Barah Payudara Sehinggalah waktunya pencegahan barah payudara ditemui, usaha menangani penyakit tersebut adalah terletak kepada keupayaan untuk mengesannya pada peringkat terawal serta mendapat rawatan penyakit tersebut.
Tahap-tahap kanser selalunya merujuk kepada keadaan kanser payudara selepas penyiasatan, yang selalunya termasuk siasat bedah ataupun biopsi. (Biopsi adalah suatu penyiasatan di mana sedikit tisu payudara akan diambil untuk kajian makmal). Kelenjar limfa di ketiak juga diperiksa untuk mengenal pasti adakah kanser telah merebak ke limfa (lymph nodes). Tetapi, tahap hanyalah satu daripada ciri-ciri kanser yang perlu diketahui. Jenis sel-sel kanser(cell type) juga penting apabila jenis rawatan perlu dipertimbangkan.
Tahap serta peringkat penghidapan penyakit ini boleh dibahagikan kepada empat tahap.
Tahap 1
Ini adalah tahap terawal penghidapan penyakit barah payudara. Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 cm ataupun kurang daripadanya. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.
Tahap 2
Pada tahap serta peringkat yang kedua ini, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat diantara 2 cm hingga 5 cm. Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.
Tahap 3
Saiz ketulan barah payudara berukuran 5 cm. Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).
Tahap 4
Pada peringkat serta tahap ini, serangan barah ini akan menjalar kepada bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara. Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan barah payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya. Kadar kesinambungan hayat (prognosis) para pesakit kelazimannya berkait rapat dengan tahap penghidapan penyakit tersebut pada masa diagnosa dibuat. Keadaan yang bebas daripada kanser selama 5 tahun adalah dianggap sudah sembuh daripada kanser payudara. Ini adalah 80% di tahap 1, 50-75% di tahap 2, 30-40% di tahap 3 dan kurang daripada 10% di tahap 4. |
No comments:
Post a Comment